TPM Sahkan Parti Politik Sokong PM Memeterai Perjanjian Kerjasama Esok

TPM Sahkan Parti Politik Sokong PM Memeterai Perjanjian Kerjasama Esok

0
SHARE
Datuk Seri Fadillah Yusof...

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan parti politik yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memeterai perjanjian berkaitan kerjasama terbabit esok.

Memetik sumber Berita Harian, ia mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini.

Menurutnya, ia akan membabitkan semua ketua parti yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Semua ketua parti sudah berbincang, malah hari ini saya balik ada mesyuarat di peringkat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melihat kandungan perjanjian,” katanya yang juga Ketua Whip GPS, ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan memaklumkan parti-parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan dijangka memeterai perjanjian esok dalam usaha mengukuhkan kerajaan pimpinan Anwar.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal…

Beliau juga mengesahkan akan hadir pada majlis itu sejajar sokongan WARISAN kepada Anwar selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang diketuainya.

“Kita akan mengadakan perjumpaan pada Jumaat ini untuk menandatangani perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang lain, saya akan hadir pada ketika itu…

“Ini adalah keutamaan kita. Kurangkan berpolitik, yang penting kepada kita adalah membawa perkara-perkara sewajarnya di landasan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima Kunjungan Hormat Wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Timbalan Ketua Mission Michael Newbill di kediamannya, di Kota Kinabalu semalam.

Mengulas lanjut, Fadillah bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai intipati perjanjian itu.

Katanya, isu membabitkan janji dalam manifesto juga tidak dibincangkan pada mesyuarat Kabinet semalam kerana ia tidak boleh mengikut parti-parti tertentu berikutan pentadbiran ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan.