LAHAD DATU: Jabatan Hidupan Liar Sabah menyerbu sebuah lokasi tarikan awam selepas menerima aduan orang ramai berhubung seekor anak beruang madu dipelihara untuk tontonan awam.
Operasi penguatkuasaan pada 12 Februari di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 mendapati haiwan dilindungi itu disimpan di premis berkenaan, manakala seorang lelaki yang dipercayai pemilik atau pengurus ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam operasi berasingan di Lahad Datu, seorang lelaki ditahan kerana memiliki tiga taring beruang madu yang dijadikan perhiasan dan semua barang kes dirampas.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang hidupan liar.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera melaporkan atau menyerahkan spesies dilindungi seperti beruang madu kepada pihak jabatan untuk tujuan penyelamatan dan pengurusan selanjutnya,” katanya.
Beruang madu merupakan spesies dilindungi sepenuhnya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda RM50,000 hingga RM250,000 atau dipenjara satu hingga lima tahun.






