Polis Siasat Kes Bunuh Wanita Dipotong Tujuh di Menggatal

Polis Siasat Kes Bunuh Wanita Dipotong Tujuh di Menggatal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan rumah kedai Indah Permai, Menggatal, pagi tadi.

Pusat Kawalan Polis menerima maklumat kira-kira jam 8 pagi Khamis sebelum sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi.

Pemeriksaan awal mendapati bahagian tubuh manusia ditemui oleh pekerja lori sampah di dalam tong sampah dan sekitar kawasan berkenaan, dipercayai milik mangsa yang sama.

Beberapa keping gambar menunjukkan bahagian tubuh mangsa dipotong dengan kemas, dipercayai menggunakan alat tajam.

Identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan waris terdekat sedang dijalankan.

Pasukan Forensik PDRM Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I serta Unit Anjing Pengesan (K9) menjalankan pemeriksaan terperinci bagi mengumpul bukti.

Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dibuang di kawasan itu.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I dan bedah siasat dijadualkan pada esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Rahman di talian 012-310 6882 atau IPD Kota Kinabalu di 088-529222.