Celik Hak Tribunal Antigangguan Seksual Tingkatkan Kesedaran Masyarakat

Celik Hak Tribunal Antigangguan Seksual Tingkatkan Kesedaran Masyarakat

0
SHARE
Flovia
Flovia (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama peserta Forum 'Celik Hak: Tribunal bagi Antigangguan Seksual'. ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Forum ‘Celik Hak: Tribunal bagi Antigangguan Seksual’ mampu bagi meningkatkan kesedaran dalam menangani dan mencegah isu gangguan seksual dalam masyarakat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata forum tersebut merupakan platform yang strategik dan signifikan dalam meningkatkan kesedaran serta membincangkan langkah-langkah pencegahan dan memperkukuhkan usaha-usaha dalam menangani isu gangguan seksual secara holistik.

“Gangguan seksual bukan sahaja merupakan satu jenayah, malahan ia juga merupakan satu isu sosial dan dapat memberi kesan mendalam kepada individu yang mengalaminya serta merosakkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

“Oleh itu, ia merupakan tanggungjawab kita semua tidak kira peringkat umur, jantina atau latar belakang untuk berganding bahu dalam memerangi masalah ini dan memastikan bahawa semua orang dapat hidup dan bekerja dalam persekitaran yang selamat dan menghormati hak serta maruah masing-masing.

“Forum tersebut menyediakan platform yang penting untuk kita berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pandangan tentang gangguan seksual dengan kehadiran panel-panel terkemuka dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing kita dapat mendalami pelbagai aspek mengenai gangguan seksual termasuk bagaimana ia boleh dielakkan dan memberi sokongan kepada mangsa serta penyaluran aduan mengikut saluran yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Dalam mencapai matlamat ini, penting untuk kita semua mengambil tanggungjawab masing-masing iaitu institusi-institusi pendidikan perlu menyediakan pendidikan dan latihan mengenai gangguan seksual kepada pelajar serta kakitangan, majikan dan organisasi juga perlu memastikan bahawa tempat kerja adalah selamat dan bebas daripada gangguan seksual.

“Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menentang gangguan seksual dengan meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan kepada mangsa dan melaporkan kes-kes yang berlaku menggunakan saluran yang betul dengan melaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penutupan Forum tersebut di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan rakyat, Datuk Flovia Ng.

Seramai lebih 180 peserta menyertai program tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai jabatan dan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Majlis Perwakilan Pelajar IPTA/IPTS dan badan bukan kerajaan (NGO) forum tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Undang-Undang Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah selaku urusetia dengan kerjasama Tribunal Antigangguan Seksual.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Dr. Tarsiah TZ Taman, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita, Haslinah Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH