KALABAKAN, SABAH – Program Kenduri Rakyat medium Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, hal tersebut selaras dengan konsep yang dibawa oleh Malaysia Madani iaitu mengeratkan perpaduan pelbagai lapisan masyarakat juga agensi-agensi kerajaan.
“Program Kenduri Rakyat yang kita adakan hari ini sebenarnya merupakan salah satu pendekatan yang KMJG gunakan untuk merapatkan lagi hubungan antara agensi-agensi kerajaan dengan komuniti, dengan masyarakat, sebab konvoi KMJG pada kali ini disertai dari pelbagai agensi antaranya RTM, Pos Malaysia, APM yang ada di setiap daerah, Maritim, JPJ, PDRM, Bomba dan beberapa lagi agensi yang lain.
“Ini peluang untuk kita merapatkan lagi hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat dan program sebegini turut boleh dijadikan sebagai medium merapatkan lagi hubungan komuniti masyarakat dengan pemimpin sebenarnya, sebab itu kita perlu kekal berhubungan, perlu kekal bersatu, kekalkan perpaduan yang kita telah kecapi dari awal kemerdekaan sehingga hari ini.
“Kita merdeka dari segala macam yang tidak baik untuk negara, yang ini sepatutnya kita kekalkan bagi membolehkan kita bebas bergaul sesama kita tanpa mengira bangsa, agama, keturunan dan asal usul,” katanya ketika berucap dalam Program Kenduri Rakyat sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah, Kempen Kibar Jalur Gemilang dan KMJG Peringkat Daerah Kalabakan 2024 di Masjid Al Muqarrabah Kampung Rancangan, Kalabakan pada Khamis.
Beliau turut mengajak masyarakat mengekal dan memelihara hubungan yang baik memandangkan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah akan disambut dan rayakan secara serentak bermula tahun ini.
“Pada tahun ini kita sambut hari kebangsaan pada 31 Ogos nanti dan dalam masa yang sama kita turut merayakan Hari Sabah iaitu hari memperingati kemerdekaan Negeri Sabah dan hal ini akan memberi lebih makna kepada kesatuan nasional dalam kalangan masyarakat di dalam negara ini.
“Kita telah merdeka lebih daripada 60 tahun iaitu satu jangka masa yang lama dan sebenarnya bermula awal kemerdekaan sehingga sekarang kita tidak pernah putus, tidak pernah berhenti untuk mengisi kemerdekaan yang telah kita kecapi dengan pelbagai usaha daripada pihak kerajaan, kita harap semoga sambutan yang serentak pada tahun ini memberi lebih makna kepada negeri dan juga negara dan kita dapat memperkukuhkan lagi perpaduan dalam negara kita, “katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik merangkap Timbalan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd, Datuk Hassan A. Gani Pg. Amir, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kalabakan, Saridun Mohd Jinin, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Kalabakan, Sharifah Norzian Sh. Sihan, Ketua Balai Polis Kalabakan, SM Marjumin Rasam dan Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis. — JABATAN PENERANGAN SABAH