LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing dalam dua tangkapan berasingan melibatkan dadah jenis syabu menerusi Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu di sekitar daerah ini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan pertama dilakukan di kawasan Reno Fajar membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 36 tahun yang ditahan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah disyaki syabu seberat 9.20 gram yang disorokkan di dalam satu sampul surat.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti bekalan dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah.
Dalam tangkapan kedua, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun selepas didapati memiliki dadah disyaki syabu seberat 0.85 gram bersama peralatan penyalahgunaan dadah.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Ujian saringan awal turut mendapati suspek positif dadah,” katanya.
ACP Dzulbaharin berkata, kedua-dua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Beliau menegaskan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan polis daerah ini dalam membanteras jenayah dadah dan menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan Lahad Datu bebas daripada ancaman dadah.






