Pasangan Maut Dalam Kemalangan Babit Lori, Motor dan Hilux di Jalan Apas

Pasangan Maut Dalam Kemalangan Babit Lori, Motor dan Hilux di Jalan Apas

0
SHARE

TAWAU: Sepasang lelaki dan perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori lima tan dan Toyota Hilux di Batu 16, Jalan Apas Balung, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.26 petang itu, kedua-dua mangsa yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah.

Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, PPgB Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum tujuh anggota bersama jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal, lori lima tan dan Toyota Hilux. Dua mangsa motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, dua mangsa lelaki di dalam lori lima tan yang tersepit telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam dan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Hilux berusia 61 tahun turut cedera ringan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, sementara mangsa cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan lanjut.

Operasi yang turut dibantu PDRM dan KKM itu tidak melibatkan kerja-kerja penyelamatan dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.