PENAMPANG: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi kritikal selepas kereta jenis Proton Persona dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di bulatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Bundusan, di sini, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.21 pagi itu, pemandu kenderaan berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penumpangnya yang juga berusia lingkungan 20-an ditemukan tidak sedarkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.21 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 4.27 pagi, didapati sebuah Proton Persona terbabas sendiri sebelum terbakar dengan dua mangsa terlibat.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu kenderaan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala penumpang yang tidak sedarkan diri diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Mangsa yang kritikal kemudian diserahkan kepada ambulans KKM untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM berjaya dikawal pada jam 4.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.46 pagi.






