
NABAWAN, SABAH – Masyarakat pedalaman tidak terkecuali dalam merayakan sambutan bulan kebangsaan.
Ahli Dewan Negara Datuk Bobbey Ah Fang Suan berkata semua masyarakat tanpa mengira apa jua batasan termasuklah kawasan dan persempadanan daerah harus menjiwai semangat kemerdekaan dan meraikannya secara bersama.
Katanya, walaupun daerah Nabawan terletak jauh di pedalaman dan bersempadan dengan Kalimantan namun masyarakat sekitar seharusnya tidak terkecuali dari merayakan apa jua program termasuklah dalam menyambut bulan kebangsaan.
“Program yang dilaksanakan Jabatan Penerangan (JaPen) saban tahun dalam mengelorakan sambutan bulan kebangsaan seperti yang berlangsung pada hari ini harus disokong dan diteruskan.
“Kita merasa bersyukur kerana kita dapat menyertai program-program yang disusun atur oleh JaPen saban tahun tanpa gagal dan ini adalah satu kebanggaan bagi masyarakat di daerah ini,” ujarnya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah 2024 di Dewan Terbuka Majlis Daerah Nabawan, pada Khamis.
Mengenai Sambutan Hari Sabah, Bobbey memaklumkan, sambutan tersebut telah lama dicadangkan oleh pemimpin terdahulu untuk disambut bagi mengenang jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh kemerdekaan negeri selain memberi pendidikan kepada golongan muda tentang fakta sebenar penyertaan Sabah dalam membentuk negara Malaysia.
“Sambutan Hari Sabah sama penting dengan sambutan Hari Kebangsaan kerana ia mampu membawa semangat patriotisme ke dalam jiwa masyarakat.
“Jadi, saya rasa sambutan Hari Sabah ini adalah satu keistimewaan bagi kita untuk meraikan sambutan Hari Sabah bersama-sama dengan Hari Kebangsaan.
“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana berjaya mewartakan sambutan tersebut seterusnya meraikan acara tersebut secara rasminya,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Bobbey turut menyampaikan watikah penubuhan Komuniti Madani daerah Nabawan serta menandatangani buku lawatan KMJG 2024 yang merupakan persinggahan konvoi ke-25.
Hadir sama, Pengarah JaPen Sabah selaku Ketua KMJG 2024 Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah Nabawan Mohd Faezun Jaafar, Ketua Daerah Nabawan Ulin Pemiang dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Nabawan Munin Amsah. — JABATAN PENERANGAN SABAH