KOTA KINABALU, SABAH – Rancangan kerajaan persekutuan untuk mengeluarkan dokumen kepada pendatang tanpa izin di negara ini, khususnya di Sabah, hanya akan memburukkan lagi masalah itu.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata pendatang tanpa izin perlu diurus mengikut undang-undang negara; ditangkap, didakwa di mahkamah dan seterusnya dihantar pulang.
“Kenapa mereka perlu diberi layanan istimewa? Mereka melanggar undang-undang imigresen kita dan melakukan jenayah dengan memasuki negara kita secara haram…
“Jika kita pergi ke negara mereka dan melakukan perkara yang sama, kita akan didakwa, dipenjarakan dan kemudian dihantar pulang juga. Kita tidak akan diberikan dokumen peribadi dan dibenarkan bekerja.
“Begitu juga Malaysia yang mempunyai undang-undang. Mengikut undang-undang kita, mereka yang memasuki negara kita secara haram mesti dibawa ke muka pengadilan dan dihantar pulang.
“Memberi mereka dokumen pengenalan tidak akan menghalang masalah yang akan datang. Ia juga tidak akan menjamin mereka ini tidak akan melakukan jenayah yang sama lagi.
“Ia tidak menyelesaikan apa-apa,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata semua warga asing di negara ini mesti mempunyai dokumen peribadi yang sah yang dikeluarkan oleh negara asal masing-masing.
Negara tuan rumah, dalam hal ini, Malaysia, tidak sepatutnya bersusah payah atau terbeban dengan mencipta dokumen baharu untuk mengenal pasti pendatang tanpa izin ini.
“Mereka yang melintasi sempadan kita tanpa dokumen yang sah mesti dihantar pulang. Tidak ada cara lain mengenai ini,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey berkata ramai individu Sabah, khususnya yang tinggal di lokasi terpencil, kekurangan dokumen peribadi kerana kesukaran untuk pergi ke bandar untuk mendaftarkan kelahiran mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata bukan seperti pendatang tanpa izin, warga asli dalam negeri ini boleh mengesahkan keturunan mereka dan dengan itu harus dianugerahkan dokumen yang sepatutnya dan diberikan kewarganegaraan seperti mana dengan ibu bapa dan saudara mereka.
“Tetapi, cadangan kerajaan persekutuan baru-baru ini adalah mengarut. Ia tidak akan menyelesaikan apa-apa dan hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“Ia mungkin lebih baik sedikit daripada Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan oleh kerajaan Warisan kerana PSS bertujuan untuk memberikan kerakyatan kepada pendatang tanpa izin manakala dokumen ini tidak. Namun begitu, ia masih tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.





