Ops Tiris 4.0 Diperhebat di Sabah, Pasukan Khas Kekang Penyeludupan Bahan Api

Ops Tiris 4.0 Diperhebat di Sabah, Pasukan Khas Kekang Penyeludupan Bahan Api

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan memperhebat usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata penubuhan pasukan khas itu dibuat susulan peningkatan risiko ketirisan, khususnya di negeri yang mempunyai sempadan darat dan perairan luas serta berhampiran negara jiran.

Menurut beliau, situasi global termasuk konflik di Asia Barat yang mencetuskan lonjakan harga minyak dunia turut memberi tekanan kepada kos subsidi negara, sekali gus meningkatkan kecenderungan aktiviti penyeludupan.

Kerajaan komited memastikan subsidi bahan api sampai kepada golongan sasar, di samping mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

“Kerajaan tidak akan berkompromi. Sesiapa sahaja yang cuba mengaut keuntungan haram melalui aktiviti penyeludupan dan penyelewengan akan berdepan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 4.0 dari 16 Mac hingga 19 April lalu, sebanyak 18,261 pemeriksaan telah dijalankan dengan 320 kes pelanggaran direkodkan melibatkan pelbagai barangan kawalan seperti diesel, petrol, LPG, minyak masak, gula dan tepung.

Daripada jumlah itu, seramai 85 individu telah ditahan bagi membantu siasatan, mencerminkan keseriusan kerajaan dalam membanteras kegiatan berkenaan.

Sabah mencatat jumlah kes tertinggi di seluruh negara dengan 82 kes, manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan dua kes.

Dalam tempoh sama, pihak berkuasa turut merampas lebih 102,000 liter diesel dan hampir 24,000 liter petrol, selain ribuan kilogram minyak masak, gas LPG dan gula.

Fadillah berkata kejayaan operasi itu hasil kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk KPDN, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am.

Beliau turut menyeru rakyat di Sabah dan Labuan agar memainkan peranan sebagai “mata dan telinga” kerajaan melalui inisiatif KITA GEMPUR bagi membantu membanteras ketirisan.

“Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri serta rakyat adalah kunci utama untuk memastikan kedaulatan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya.