KOTA KINABALU: Gabenor Kalimantan Utara (Kaltara), Zainal Arifin Paliwang, meluahkan rasa kecewa terhadap situasi rakyat di kawasan sempadan Indonesia-Malaysia yang terpaksa bergantung kepada Malaysia bagi mendapatkan keperluan asas, lapor Sinar Harian.
Menurut laporan itu, Zainal menyifatkan keadaan tersebut sebagai sesuatu yang memalukan kerana penduduk lebih mengharapkan negara jiran berbanding tanah air sendiri.
“Saya sendiri pernah mengalami perjalanan darat dari Malinau ke Krayan yang mengambil masa tiga hari dua malam.
“Malah, kami terpaksa bermalam di tepi jalan akibat kenderaan terperangkap dalam lumpur dan hanya dapat ditarik menggunakan jentera berat ketika hujan,” katanya dalam satu mesyuarat kerja bersama Komisi II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta, pada Isnin.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerosakan jalan dan jambatan memaksa penduduk membina jambatan sementara dari batang kayu demi memastikan bekalan keperluan asas dapat disalurkan ke kawasan mereka.
Menurutnya lagi, harga barangan asas di kawasan berkenaan melonjak tinggi, antaranya satu beg simen di Krayan yang mencecah sehingga Rp900,000 (RM273), hampir sama dengan harga di kawasan paling terpencil di Papua.
Difahamkan bahawa kerajaan provinsi memperuntukkan subsidi tahunan sebanyak Rp15 bilion (RM3.9 juta) untuk menampung kos pengangkutan ke kawasan sempadan, namun peruntukan itu mungkin dikurangkan tahun ini susulan dasar efisiensi kerajaan pusat.
Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Malaysia, Zainal mencadangkan agar kenderaan milik penduduk Krayan yang menggunakan nombor pendaftaran Malaysia diberikan status khas di bawah pengawasan Indonesia.
“Kami juga sedang merancang untuk membina laluan penghubung baharu antara Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur bagi memudahkan pengedaran barangan asas dari Samarinda,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur di kawasan perbatasan adalah penting bagi memperkukuh kedaulatan negara dan menjamin keadilan sosial untuk seluruh rakyat.