PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 18 hingga 38 tahun dalam satu operasi sekitar jam 12.15 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM3,300 secara keseluruhan.
“Rampasan itu termasuk dadah disyaki jenis ekstasi seberat 113.52 gram dalam tiga paket plastik biru, 15 biji pil berwarna-warni disyaki ekstasi seberat 8.08 gram, dan dua paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki ketamin seberat 5.00 gram.
“Kesemua suspek juga didapati positif dadah jenis ketamin hasil ujian saringan awal air kencing,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
“Polis mengingatkan masyarakat agar tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam membanteras gejala ini,” tambahnya.