Agong Tangguh Permohonan Pengampunan Najib, Perkenan Bebas 65 Banduan

Agong Tangguh Permohonan Pengampunan Najib, Perkenan Bebas 65 Banduan

0
SHARE

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim berkenan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang, selain memperkenankan pembebasan 65 banduan.

Perkara itu dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan pada 11 September.

Menurut BHEUU, Seri Paduka Baginda berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

KDYMM SPB juga berkenan supaya permohonan pengampunan YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” menurut kenyataan itu.

Dalam mesyuarat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan membebaskan 65 banduan berkuat kuasa hari ini.

BHEUU berkata, semua banduan bukan warganegara yang termasuk dalam pembebasan berkenaan hendaklah dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan tarikh Mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan Najib.