BEAUFORT, SABAH – Pencapaian negara selama 67 haruslah disyukuri oleh segenap lapisan masyarakat.
Pegawai Daerah, Nazri Anjum berkata rekod kejayaan negara yang berdaulat dan bersatu padu perlu dan makmur perlu dikekalkan supaya terus dinikmati oleh generasi seterusnya.
“Hari ini kita mewarisi sebuah negara merdeka. Kejayaan kita membina sebuah negara merdeka dan berdaulat, aman dan makmur, bersatu dan berpadu, dihormati dan disegani.
“Kita wajib bersyukur bahawa warga Malaysia dari pelbagai agama, kaum dan budaya telah berpadu usaha, bersatu tenaga, membina satu warga, membina satu negara yang kini menjadi teladan kejayaan.
“Kita wajib bersyukur kerana jutaan rakyat telah dapat kita keluarkan dari lembah kemiskinan.
“Kita wajib bersyukur atas kemakmuran yang dinikmati oleh begitu ramai warga, kemakmuran yang masih menjadi impian kepada begitu ramai manusia di banyak negara di dunia ini.
“Kita wajib bersyukur kerana dari sebuah negara yang mempunyai pelbagai sebab untuk bersengketa, dari sebuah negara yang menghadapi ancaman dari dalam dan luar, kita berjaya membina negara yang aman dan stabil, makmur dan sejahtera,” katanya ketika berucap merasmikan Program KMJG Peringkat Daerah Beaufort 2024, semalam.
Tambahnya, laungan merdeka yang dilaungkan mestilah dilengkapi dengan tindakan untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang makmur dan disegani.
“Laungan merdeka telah digemakan selama 67 tahun dan laungan itu akan terus digemakan selama-lamanya, selagi adanya bulan dan selagi adanya matahari”
“Laungan itu bukan sekadar disahut dengan laungan, laungan itu diberikan erti dan diberikan makna, diperlengkap dengan tindakan, diperkemas dengan gerakan, berpandukan resipi untuk membangunkan sebuah negara bangsa agar benar-benar berdaulat dan mulia, maju dan makmur, bersatu dan berpadu, dihormati dan disegani,” jelas beliau.
Pada majlis itu, Nazri diiringi Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor kepada beberapa jabatan di Bangunan Persekutuan Daerah Beaufort.
Beliau juga menyempurnakan acara pelepasan Konvoi KMJG 2024 yang disertai rakan-rakan strategik Jabatan Penerangan Negeri Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH