
BEAUFORT, SABAH – Tidak hanya dengan nyanyian yang kuat, sorakan oleh sekumpulan individu nyata menyemarakkan lagi suasana serta semangat merdeka di Bangunan Persekutuan Daerah Beaufort.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Benjamin @ Ismail Atin bersama staf PPD Beaufort yang mengenakan rona pakaian segar itu juga mencuri perhatian pengunjung semasa Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Beaufort.
Menurut Benjamin, kehadirannya bersama seluruh staf bertujuan untuk memeriahkan sambutan program berkenaan di samping mengajak masyarakat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.
Ketika ditanya mengenai pemasangan Jalur Gemilang di rumah, beliau dengan penuh yakin memberitahu Jalur Gemilang sudahpun dipasang sejak 1 Ogos lalu.
“Rumah kami masing-masing sudah mengibar Jalur Gemilang, rumah saya tu Jalur Gemilang tahun lepas punya…ada bendera Palestine juga,” katanya dengan bersungguh-sungguh.
Mengenai pengertian merdeka pula, Benjamin berkata kemerdekaan bukan sahaja merdeka dari segi fizikal semata-mata tetapi juga pemikiran masyarakat membawa kebebasan itu ke arah negara bangsa yang terus bersatu-padu, harnoni, berdaulat dan disegani di mata dunia. — JABATAN PENERANGAN SABAH





