
BEAUFORT, SABAH – Seorang penunggang motosikal dan warga emas meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah lori, kereta dan dua motosikal di simpang Jalan Kilugus Tangulian, Jalan Beaufort-Menumbok pada Ahad.
Ketua Polis Beaufort DSP Ismail Abdullah berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.45 petang.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori dan sebuah kereta bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari arah Beaufort menghala ke Menumbok manakala dua motosikal termasuk seorang pembonceng dalam perjalanan dari arah Menumbok menghala ke Beaufort.
“Ketika tiba di persimpangan Jalan Kilugus Tangulian, sebuah lori tiba-tiba memperlahankan kenderaan dan cuba memasuki persimpangan di sebelah kanan.
“Sebuah kereta yang datang dari arah sama tidak sempat mengelaknya dan melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori dan terbalik lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan manakala tujuh mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk menerima rawatan lanjut.
Mangsa Mohd Asyraf Matrudi, 23, dan Fatimah Apong, 73, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu.
Ismail berkata, kes sedang disiasat di bawah Sek. 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang di jalan raya serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik,” katanya.