Pekerja Maut Terkena Renjatan, Subkontraktor Didenda RM15,000

Pekerja Maut Terkena Renjatan, Subkontraktor Didenda RM15,000

0
SHARE

KENINGAU: Sebuah syarikat subkontraktor didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau selepas mengaku bersalah menjalankan kerja berhampiran pepasangan elektrik milik Sabah Electricity (SE) tanpa kebenaran, sehingga mengakibatkan seorang pekerja maut terkena renjatan elektrik dan seorang lagi cedera.

Syarikat Juara Hartawan Sdn Bhd membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Dr Nur Ashikin Mokhtar, pada Jumaat.

Menurut Energy Commission of Sabah (ECoS), berdasarkan pertuduhan, syarikat berkenaan menjalankan kerja pemasangan tiang lampu solar berhampiran talian atas elektrik milik SE tanpa mendapatkan kebenaran sah daripada pihak berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 21 Julai lalu, kira-kira jam 11.40 pagi di Kampung Malinja 3, Nabawan.

Kejadian berkenaan mengakibatkan seorang pekerja maut akibat renjatan elektrik, manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

Syarikat itu didakwa mengikut Subseksyen 55(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Undang-Undang ECoS, Nureen Natasha Mohd Raffie.

Susulan kes berkenaan, ECoS menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan.

“ECoS akan terus melaksanakan penguatkuasaan dan mengambil tindakan pendakwaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang demi menjamin keselamatan pekerja serta orang awam,” menurut kenyataan itu.