KOTA BELUD, SABAH – Lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan acara Malam Citrawarna Kota Belud sempena sambutan Tamu Besar Kota Belud 2024.
Pengarah program, Nursyahirah Abdullah berkata sambutan Tamu Besar Kota Belud pada tahun ini amat bersejarah kerana diangkat menjadi salah satu program nasional oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Tamu Besar merupakan platform di mana masyarakat Kota Belud dapat menonjolkan seni budaya dan hasil-hasil kraftangan mereka selain untuk menarik pelancong ianya juga dapat menjana ekonomi peniaga tempatan.
“Saya berharap sambutan Tamu Besar Kota Belud akan terus diraikan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas program berkenaan yang diadakan di Padang Pekan Kota Belud, pada Jumaat.
Program anjuran bersama MOTAC, PERKASIH Kota Belud dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah itu menampilkan pelbagai persembahan antaranya tarian etnik kreatif daripada Johan dan pemenang tempat ketiga Festival Tari Tempasuk 2024, nyanyian artis Pentarama JAPEN Sabah dan artis-artis tempatan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari, Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara MOTAC, Rosnan Abdul Rahman, Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor serta Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Negeri Sabah, Jasmi Rasit. — JABATAN PENERANGAN SABAH