KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sudah sampai masanya bagi University College Sabah Foundation (UCSF) membuka pintu kepada pelajar luar negara.
“Langkah ini dapat meningkatkan reputasi global institusi, merangsang perkongsian ilmu yang pelbagai, serta memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
“Syabas juga kepada UCSF atas usaha memperkukuhkan jaringan antarabangsa. Hubungan strategik bersama institusi di Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina membuktikan bahawa UCSF tidak lagi melihat sempadan geografi sebagai batas kepada kecemerlangan.
“Sebaliknya, universiti ini sedang membuka ruang yang lebih luas kepada mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama serta pembangunan komuniti rentas negara,” katanya.
Ketua Menteri, yang juga Canselor UCSF berkata demikian pada majlis Konvokesyen ke-4 University College Sabah Foundation (UCSF) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Sabtu.
Hajiji berkata usaha memperkukuhkan jaringan antarabangsa yang akan memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab pendidikan khususnya di rantau Borneo dan BIMP-EAGA.
Dalam hal ini, beliau melihat UCSF memainkan peranan yang amat signifikan dan sebagai institusi pendidikan tinggi milik Yayasan Sabah, UCSF bukan sahaja menjadi pusat penyampaian ilmu, malah menjadi wadah untuk melahirkan generasi baharu Sabah yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Usaha UCSF memperluaskan penawaran akademik melalui pembukaan program-program baharu seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Asasi Sains serta pembangunan program Sarjana Muda Seni Bina (Kepujian) juga amat membanggakan, katanya.
“Usaha membangunkan program Sarjana dan Doktor Falsafah menunjukkan bahawa UCSF sedang melangkah ke fasa baharu sebagai institusi yang memberi penekanan kepada penyelidikan, inovasi dan pembangunan ilmu pada tahap lebih tinggi.
“Inilah transformasi yang kita harapkan daripada sebuah institusi pengajian tinggi. Saya juga dimaklumkan bahawa UCSF adalah institusi utama yang membekalkan tenaga mahir untuk industri Pelancongan dan Perhotelan di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh kepada pembangunan pendidikan tinggi di Sabah.
“Saya yakin dengan kepimpinan Naib Canselor, Lembaga Pengarah, pengurusan universiti, para akademik, seluruh warga kerja universiti dan sudah tentu Yayasan Sabah, UCSF akan terus melakar lebih banyak kejayaan,” katanya.
Hajiji mengulangi bahawa agenda pembangunan modal insan Sabah terus diperkukuh dengan peruntukan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.
Katanya, usaha ini memberi manfaat kepada ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Peruntukan ini digunakan untuk menampung pelajar sedia ada serta tajaan baharu tahun 2026, membabitkan seramai 2,182 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.
“Sehingga kini jumlah keseluruhan pelajar yang menerima tajaan BKNS telah mencecah 13,389 orang, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti.
“Komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan kekal menjadi keutamaan kerana sektor berkenaan merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya,
Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa meletakkan pembangunan modal insan sebagai asas kepada kemajuan negeri dan seiring dengan kemajuan masa kini, Sabah amat memerlukan barisan graduan yang berilmu, berkemahiran tinggi, berdaya saing, serta mempunyai minda yang kreatif.
Hajiji berkata kerajaan bertekad untuk meneruskan pelbagai program bantuan pendidikan termasuklah 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak tahun 2021.
Antara bantuan pendidikan tersebut adalah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI); Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS/SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
“Langkah yang kita ambil ini adalah untuk membantu pelajar serta keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, Ketua Menteri berharap semua pelajar akan terus mengekalkan kecemerlangan termasuklah menerokai dan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang strategik yang menjadi pemacu pembangunan masa hadapan, khususnya sektor minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta bidang Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau AI).






