KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mahu agenda teknologi kerajaan (GovTech) memberi tumpuan kepada pengalaman rakyat (Citizen Experience) dan penyampaian perkhidmatan secara proaktif, selaras dengan usaha memastikan urusan kerajaan lebih mudah, pantas dan mesra pengguna.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, falsafah GovTech meletakkan rakyat sebagai paksi utama (people-centric design), bermakna kerajaan tidak lagi menunggu rakyat datang mencari perkhidmatan atau berdepan dengan kerenah birokrasi yang membebankan.
“Sebaliknya, teknologi dimanfaatkan agar perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada rakyat secara terus, lancar dan mesra pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, transformasi digital amat penting untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan (Ease of Doing Business) di Sabah, sekali gus menarik pelaburan dan memajukan ekonomi negeri.
“Namun, harus kita ingat bahawa teknologi canggih hanyalah sebuah alat. GovTech tidak akan membawa makna tanpa perubahan sikap dan minda (mindset shift) daripada para penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata, kecekapan, integriti dan sifat empati penjawat awam adalah ‘enjin utama’ yang memberi jiwa kepada teknologi demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Menurutnya, pemodenan sektor awam menerusi GovTech turut membolehkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan meruntuhkan sistem kerja secara silo.
Katanya, integrasi data dan sistem antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri adalah prasyarat bagi mewujudkan perkhidmatan kerajaan yang pantas, mudah dan telus.
Usaha itu penting terutama dalam merapatkan jurang sosioekonomi serta memastikan limpahan pembangunan digital dinikmati rakyat hingga ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Hajiji turut mengingatkan bahawa peningkatan kebergantungan kepada ekosistem digital perlu disusuli benteng keselamatan siber yang kukuh, termasuk perlindungan data peribadi rakyat yang diamanahkan kepada agensi kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Program Digital Tamu yang dianjurkan serentak menjadi cerminan tekad kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyantuni serta memangkin ekosistem ekonomi digital tempatan, khususnya membabitkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah.
Beliau berkata, Digital Tamu menghimpunkan sehingga 30 pempamer termasuk syarikat teknologi tempatan yang menawarkan solusi digital dan teknologi terkini.
Selain itu, program berkenaan turut disertai agensi sokongan seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) sebagai pemudah cara untuk mempercepatkan proses pendigitalan perniagaan PMKS di negeri ini.
“Saya amat berharap usahawan-usahawan tempatan dapat memanfaatkan platform ini sepenuhnya demi kelestarian perniagaan mereka pada era digital ini,” katanya.






