Kid dan Din Search Bakal Gegarkan Sandakan, Rocktimatum Fest 2026 Berlangsung 3...

Kid dan Din Search Bakal Gegarkan Sandakan, Rocktimatum Fest 2026 Berlangsung 3 Oktober Ini

0
SHARE

SANDAKAN: Dua gitaris legenda tanah air, Kid dan Din daripada kumpulan Search, bakal menggegarkan pentas Rocktimatum Fest 2026 yang dijadualkan berlangsung di Dewan Tiong Hua Sandakan pada 3 Oktober ini.

Festival muzik anjuran Don Legacy Resources itu akan berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 11.00 malam, menghimpunkan barisan pemuzik legenda tanah air bersama bakat tempatan dalam satu acara muzik berskala besar di Pantai Timur Sabah.

Antara tarikan utama festival berkenaan ialah kemunculan semula Kid dan Din di Sandakan selepas beberapa dekad menerusi persembahan Search Kiddin, yang dijangka mengubat kerinduan peminat muzik rock tempatan.

Selain Search Kiddin, festival itu turut menampilkan kumpulan The Times, Sil Khannaz dan Tebabo dari Semenanjung Malaysia, bersama tiga kumpulan tempatan Sabah iaitu Tuni Sundatang, Renewar dan The Atlus.

Penampilan sulung kumpulan Sil Khannaz di Sandakan menerusi festival muzik berskala besar itu turut dijangka menjadi antara tarikan utama kepada peminat muzik metal.

Rocktimatum Fest 2026 bakal menyajikan pelbagai genre muzik termasuk rock klasik, indie rock, progressive rock, alternative rock serta traditional ethno fusion, sekali gus mengetengahkan keunikan dan identiti muzik Sabah kepada khalayak yang lebih luas.

Menurut pihak penganjur, festival berkenaan bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya menjadi platform untuk memberi peluang kepada pemuzik tempatan berkongsi pentas bersama artis berpengalaman, selain merancakkan industri muzik dan ekonomi kreatif di Sabah.

Penganjuran festival itu turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures di bawah Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik: Dana Persembahan Muzik.

Bagi memastikan pengalaman terbaik kepada pengunjung, festival berkenaan turut menampilkan sistem audio, pencahayaan dan produksi pentas bertaraf profesional yang bersesuaian dengan skala penganjuran.

Sementara itu, menurut penganjur, jualan tiket kini sedang berlangsung dan mendapat sambutan menggalakkan, dengan kuota tiket kategori Early Bird semakin menghampiri had jualan.

Orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan barisan pemuzik legenda dan bakat tempatan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membeli tiket menerusi platform media sosial rasmi Rocktimatum Fest 2026.