KOTA KINABALU, SABAH – Jambatan Labuan-Sabah yang akan dibina secara inisiatif kewangan swasta (PFI) tidak harus dikenakan tol apabila siap dan beroperasi kelak.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, berkata jika dikenakan tol, objektif untuk mengurangkan kos pengangkutan di antara pulau bebas cukai itu dengan Sabah tidak akan tercapai.
“Objektif utama jambatan itu adalah untuk mengurangkan masa perjalanan dan memaksimumkan keselamatan serta kemudahan pelancong…
“Jambatan ini juga akan mengurangkan kos pengangkutan penumpang dan barang antara Labuan dengan daratan Sabah.
“Dengan kata lain, tol di jambatan Labuan akan menambah kos dan kelewatan pengangkutan Labuan-Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Dilantik berkata, sebagai pulau yang dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1984, ia berhak mendapat jambatan tanpa biaya tambahan.
Katanya, ia adalah ‘hutang’ kerajaan persekutuan yang sudah lama tertangguh kepada rakyat Labuan sejajar usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk pulau bebas cukai itu.
“Sekarang, kerajaan persekutuan mengumumkan pelawaan terbuka kepada sektor swasta untuk membina jambatan itu secara PFI…
“Cadangan itu mungkin membabitkan pengenaan tol yang akhirnya mencemarkan objektif utama jambatan berkenaan.
“Sebarang cadangan PFI harus mengecualikan pengenaan tol. Tambahan pula, kerajaan persekutuan harus memanfaatkan dana kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA),” katanya.
Beliau berkata, China memperuntukkan pinjaman khas AS$5 bilion (RM20.5 bilion) kepada negara BIMP-EAGA pada tahun lalu.
Katanya, Sabah berada di sempadan BIMP-EAGA dan terletak di lokasi ideal untuk mendapat manfaat daripada dana BIMP-EAGA China yang diuruskan Bank Pembangunan China.
“Hanya 20 peratus hingga 30 peratus daripada dana ini, berjumlah AS$1 bilion (RM4.1 bilion) hingga AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion) sudah mencukupi untuk membina dan menyelesaikan jambatan berkenaan,” katanya.
Rabu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika menjawab soalan Datuk Rozman Isli (WARISAN-Labuan) di Dewan Rakyat, memaklumkan perkembangan terbaharu cadangan pembinaan jambatan Labuan-Sabah secara PFI.
Annuar memaklumkan pemilihan syarikat untuk melaksanakan pembinaan jambatan itu dijangka dimuktamadkan, Oktober tahun depan.