KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyeru rakyat terus menghargai erti Hari Malaysia dan menyambutnya dengan semangat patriotisme serta kecintaan yang mendalam terhadap negara.
“Marilah kita memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama sentiasa terpelihara,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia di sini.
Hajiji berkata, 16 September merupakan tarikh penting kerana ia adalah hari penubuhan Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berasa bangga dan sentiasa mengingati hari bersejarah ini kerana ia menandakan detik negara kita menjadi berdaulat dan merdeka.
“Penubuhan Malaysia telah membawa rahmat dan manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negara ini. Namun, perjalanan membina negara masih panjang, penuh cabaran dan rintangan.
“Hanya melalui perpaduan, solidariti dan kebersamaan demi kepentingan tanah air, segala cabaran ini dapat diatasi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ketua Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia menghayati tema Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat berasaskan prinsip Malaysia MADANI.
Ia juga selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan, perpaduan dan pembangunan saksama untuk semua lapisan masyarakat.





