Video Tular Ketua Pengarah AKPS: Individu Asing Disyaki Terlibat Aktiviti ‘Ulat’ Diperiksa

Video Tular Ketua Pengarah AKPS: Individu Asing Disyaki Terlibat Aktiviti ‘Ulat’ Diperiksa

0
SHARE

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjelaskan video tular membabitkan Ketua Pengarahnya, CP Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di KLIA Terminal 1 berlaku ketika operasi penguatkuasaan terhadap seorang warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti ‘ulat’ di kawasan lapangan terbang itu.

AKPS dalam kenyataan hari ini mengesahkan rakaman yang tular itu adalah rakaman sebenar daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) KLIA Terminal 1, membabitkan insiden pada 28 September lalu.

Menurut AKPS, ketika kejadian, Mohd Shuhaily sedang mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi agensi itu di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.

Dalam tinjauan berkenaan, beliau bersama pasukan operasi turut menjalankan penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti ‘ulat’ susulan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang serta kontraban di KLIA.

“Pengoperasian ini merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilakukan oleh AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten,” menurut kenyataan itu.

Susulan operasi berkenaan, seorang warga asing dikenal pasti sebelum dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut.

AKPS menegaskan proses pemeriksaan dan temu bual ketika itu hanya membabitkan pasukan operasinya bersama AVSEC KLIA serta tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain.

Menurut kenyataan itu, video yang kemudian tular dirakam dua individu lain yang bukan anggota pasukan operasi selepas mereka memasuki ruangan bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai.

Kedua-dua individu itu didakwa merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS dan warga asing berkenaan tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit masing-masing.

AKPS mendakwa tindakan berkenaan menimbulkan provokasi sehingga menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung dalam operasi itu.

Ekoran kejadian, kedua-dua individu berkenaan membuat laporan polis masing-masing sehari dan dua hari selepas insiden, sebelum klip rakaman berkenaan tular di media sosial.

AKPS berkata, Mohd Shuhaily turut membuat laporan polis berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk bagaimana rakaman tersebut diperoleh dan disebarkan.

Agensi itu turut menyatakan penyebaran rakaman berkenaan dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi Ketua Pengarah AKPS serta agensi berkenaan.

AKPS menegaskan pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Orang ramai turut diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.