Tiga Individu Ditahan, Bakal Didakwa Esok Terlibat Kes Aman Palestin

Tiga Individu Ditahan, Bakal Didakwa Esok Terlibat Kes Aman Palestin

0
SHARE
Ibu Pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram hasil daripada penyelewangan dana derma awam Aman Palestin.

Sumber memaklumkan, kesemua suspek adalah berusia lingkungan antara 40 hingga 50-an yang ditahan kira-kira jam 11.30 pagi tadi di pejabat SPRM Putrajaya ketika diminta hadir memberi keterangan. 

“Ketiga-tiga orang kena tangkap (OKT) termasuk seorang yang menjawat jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada jam 9.00 pagi esok dengan lebih 100 pertuduhan.

“Siasatan awal mendapati kesemua OKT terlibat dengan perbuatan itu di antara tahun 2018 hingga 2023,” jelas sumber itu.

Sumber turut mengesahkan bahawa tiga individu itu akan dituduh dan disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 527).

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan ketiga-tiga individu itu akan didakwa di Mahkamah Shah Alam esok. 

Terdahulu media melaporkan SPRM membeku 41 akaun dan beberapa entiti syarikat lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin berjumlah RM15,868726 selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

Tindakan itu diambil selepas siasatan terhadap Aman Palestin dijalankan sejak 17 Oktober tahun lalu.

“Sebelum ini, SPRM turut menggeledah premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu,” katanya.