KUALA LUMPUR – Inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma yang dimulakan di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan untuk melihat aspek pengoperasian dan maklum balas segera.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata inisiatif terbabit boleh diperluaskan ke fasiliti kesihatan yang strategik dan membabitkan orang awam sekiranya berjaya.
“Saya mengambil maklum di atas kekeliruan dan berterima kasih atas pandangan orang ramai berhubung kenyataan saya yang menyentuh pemberian tuala wanita secara percuma di Ibu Pejabat KKM…
“Inisiatif ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh memberi impak yang besar untuk menangani isu kemiskinan haid, apatah lagi ia sangat bertepatan dengan kesihatan menstrual dan sistem reproduktif wanita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, media semalam melaporkan Dr Zaliha mengumumkan KKM bakal memulakan inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma bagi menangani isu kemiskinan haid di negara ini.