PENAMPANG: Cadangan menaik taraf trek larian di Kompleks Sukan Penampang kini menunggu proses kelulusan dimuktamadkan susulan kebimbangan pengguna terhadap keadaan kemudahan tersebut.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, isu yang dibangkitkan menerusi kumpulan Facebook Complaint Sabah itu sebenarnya telah diberikan perhatian lebih awal.
Menurutnya, beliau sendiri telah mengadakan lawatan kerja ke kompleks berkenaan pada awal tahun ini bersama pihak kementerian, Lembaga Sukan Sabah dan agensi berkaitan bagi menilai keadaan kemudahan secara langsung.
“Hasil penilaian serta maklum balas yang diterima, keperluan menaik taraf beberapa kemudahan termasuk trek larian telah dikenal pasti dan dibawa ke peringkat seterusnya untuk mendapatkan kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu selepas meninjau sendiri keadaan kompleks sukan Penampang.
Nizam berkata, sebaik kelulusan diperoleh, pihak kementerian bersama agensi berkaitan akan menyegerakan penyelarasan teknikal, pemuktamadan skop kerja dan pelaksanaan penambahbaikan mengikut tatacara ditetapkan.
Beliau turut memahami kegusaran atlet, kelab olahraga dan masyarakat setempat yang menggunakan kemudahan tersebut serta menegaskan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.
Sehubungan itu, pihak berkaitan telah diminta terus memantau keadaan trek berkenaan sementara menunggu proses penambahbaikan dilaksanakan.
“Kita mahu kemudahan sukan di Sabah bukan sahaja tersedia untuk digunakan, tetapi berada dalam keadaan yang baik, selamat dan mampu menyokong pembangunan sukan serta aktiviti masyarakat untuk jangka panjang,” katanya.






