70 Gerai Jual Pakaian Bundle Musnah Terbakar di Pasar Tawau

70 Gerai Jual Pakaian Bundle Musnah Terbakar di Pasar Tawau

0
SHARE

TAWAU: Kira-kira 70 lot gerai menjual pakaian bundle musnah sepenuhnya dalam kebakaran di kawasan Pasar Tawau, Kampung Titingan, Esbok Rombengan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.44 pagi itu, kebakaran membabitkan deretan gerai tidak kekal dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 100 x 120 meter persegi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 4.44 pagi sebelum pasukan dari BBP Tawau digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.51 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan kira-kira 70 lot gerai tidak kekal yang menjual pakaian bundle.

“Kesemua gerai terbabit musnah 100 peratus dalam kebakaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Jemishin, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran yang mempunyai ratusan kediaman dan premis perniagaan.

“Sebanyak 350 rumah dan lot kedai berjaya diselamatkan daripada kebakaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang 700 kaki dengan enam pancutan, manakala bekalan air diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.23 pagi sebelum kerja-kerja pemeriksaan dan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi dilakukan.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.42 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

Operasi turut mendapat bantuan 10 anggota Bomba Komuniti, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).