Sudah Lebih Lima Hari Meninggal Dunia, Mayat Lelaki Ditemukan Dalam Rumah Sewa...

Sudah Lebih Lima Hari Meninggal Dunia, Mayat Lelaki Ditemukan Dalam Rumah Sewa di Labuan

0
SHARE

LABUAN: Seorang lelaki berusia 57 tahun yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih lima hari ditemukan di dalam sebuah rumah sewa di tingkat dua sebuah premis di sini, petang semalam.

Mayat mangsa ditemukan di atas tilam selepas anggota bomba terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang bagi membantu membuka pintu rumah sewa di tingkat dua, atas Restoran JJ Naza berhampiran BSN.

Susulan panggilan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rancha-Rancha dan BBP Labuan Sentral digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba bertindak memecahkan pintu rumah berkenaan sebelum menemukan seorang lelaki berusia 57 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tilam.

Menurut maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih lima hari,” menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba kemudian membantu menurunkan mayat mangsa dari tingkat dua sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi berkenaan melibatkan 14 anggota bomba dari BBP Rancha-Rancha dan BBP Labuan Sentral serta lima anggota polis.

Operasi ditamatkan pada jam 6.10 petang selepas pemeriksaan dilakukan dan lokasi dipastikan selamat.

Punca kematian mangsa belum dinyatakan dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.