KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkukuh kerjasama strategik dalam aspek keselamatan, ketenteraman awam serta penguatkuasaan bagi memastikan bandar raya ini kekal selamat, aman, teratur dan kondusif.
Komitmen itu antara perkara yang dibincangkan sempena kunjungan hormat Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu, ACP Shahrudin Mat Husain kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sri Dr. Sabin Samitah, di Pejabat Mayor, pada 20 Ogos lalu.
DBKK dalam kenyataan hari ini berkata, kunjungan berkenaan merupakan sesi pengenalan rasmi Shahrudin sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu, selain menjadi platform memperkukuh hubungan dan kerjasama antara DBKK dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Menurut kenyataan itu, Sabin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Shahrudin atas pelantikannya dan menyatakan keyakinan hubungan kerjasama sedia ada antara kedua-dua pihak akan terus dipertingkatkan.
“Kerjasama itu penting bagi memastikan Kota Kinabalu terus kekal selamat, aman, teratur dan kondusif,” menurut kenyataan itu.
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai aspek keselamatan, ketenteraman awam dan penguatkuasaan di sekitar bandar raya.
Perbincangan turut memberi penekanan terhadap kepentingan koordinasi berterusan antara DBKK dan PDRM dalam menangani pelbagai isu bandar secara lebih tersusun, pantas dan berkesan.
DBKK turut mengalu-alukan kesinambungan kerjasama strategik bersama IPD Kota Kinabalu terutama dalam pencegahan jenayah, keselamatan kawasan tumpuan awam, pengurusan trafik, penguatkuasaan bersepadu serta pemantauan keselamatan bandar raya.
Menurut DBKK, kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole-of-government dalam pengurusan keselamatan dan ketenteraman bandar raya.
Pendekatan berkenaan diharap dapat memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara, selain menyokong pembangunan Kota Kinabalu yang mampan.






