KOTA KINABALU: Seorang penumpang wanita dilaporkan membuang air besar di tempat duduknya dalam penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu ke Shanghai, menyebabkan kru kabin terpaksa melakukan pembersihan sebelum pesawat mendarat.
Memetik laporan media China, kejadian berlaku dalam penerbangan AK1516 yang berlepas dari Kota Kinabalu kira-kira jam 10.30 malam pada 18 Ogos dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong sekitar jam 3 pagi keesokan harinya.
Menurut laporan itu, penumpang mula menyedari bau kuat memenuhi kabin kira-kira 40 minit sebelum pesawat mendarat.
Punca bau berkenaan kemudian dikesan dari kawasan tempat duduk seorang penumpang wanita, dengan najis dilaporkan ditemukan pada tempat duduk serta lantai lorong pesawat.
Seorang penumpang yang duduk bersebelahan wanita terbabit mendakwa dia dalam perjalanan bersama dua kanak-kanak dan dilihat menuju ke tandas sambil membawa sebuah beg sebelum bau berkenaan mula tersebar dalam kabin.
Menurut laporan sama, penumpang pada mulanya menyangka seseorang telah muntah sebelum menyedari ia sebenarnya membabitkan najis.
Seorang saksi turut mendakwa tandas pesawat terletak hanya beberapa meter dari tempat duduk wanita itu dan masih belum ditutup sebagai persediaan untuk pendaratan ketika kejadian berlaku.
Wanita berkenaan dilaporkan memberitahu penumpang lain bahawa dia kurang sihat.
AirAsia mengesahkan kejadian itu pada 21 Ogos, dengan menyifatkannya sebagai insiden kebersihan luar biasa yang berlaku di lorong pesawat sebelum pendaratan.
Menurut syarikat penerbangan itu, kru kabin segera bertindak mengawal keadaan dan membersihkan kawasan terjejas menggunakan sarung tangan serta tuala, sambil memastikan pesawat dapat melakukan pendaratan dengan selamat.
Selepas pesawat tiba di Shanghai, kapten dan pasukan darat dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan sebelum kerja pembersihan lebih menyeluruh dilakukan selepas semua penumpang turun.
Dalam pada itu, Pengurus Besar AirAsia China, Frank Tang Ting, memuji kru kabin kerana kekal tenang dan bertindak pantas ketika mengendalikan situasi berkenaan.
Beliau berkata, keselamatan dan kesejahteraan penumpang kekal menjadi keutamaan AirAsia, selain mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kefahaman mereka sepanjang insiden itu.






