ABUJA, NIGERIA – Penggunaan ubat Ivermectin menyumbang kepada impak negatif pada sistem pembiakan kaum lelaki, demikian menurut satu kajian yang dijalankan dari tiga penyelidik Universiti tempatan Nigeria.
Memetik laporan portal atas talian Forbes, kajian itu mendedahkan Ivermectin boleh menjejaskan jumlah penghasilan dan kualiti sperma lelaki yang mana menuju ke arah kemandulan.
Berdasarkan data yang diperoleh daripada kajian itu juga, sebanyak 85 peratus (85%) daripada lelaki yang mempunyai sejarah pengambilan Ivermectin menjadi mandul.
“Terdapat penurunan yang signifikan dikesan dalam jumlah sperma lelaki yang pernah menggunakan ubat Ivermectin…
“Kami menjalankan kajian ini ke atas 385 individu yang mengalami penyakit buta sungai atau Onkosersiasis bagi mengenalpasti kesan Ivermectin pada penghasilan sperma mereka,” demikian menurut kajian tersebut.
Sebelum ini, Ivermectin pernah tular apabila dikaitkan dengan ubat yang boleh melawan jangkitan COVID-19.
Banyak berita tular mengenai keberkesanan Ivermectin dalam mencegah COVID-19 di seluruh dunia yang dinafikan oleh pakar kesihatan.
Pentadbiran Makanan dan Ubat AS (FDA) pada media sosial mereka turut bertegas mengingatkan orang ramai berhubung penggunaan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19.
“KAMU BUKAN KUDA. KAMU BUKAN LEMBU. INI SERIUSLAH. HENTIKAN INI,” KATANYA.
