KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk membenarkan panggung wayang beroperasi semula bermula esok (18 Sept), tetapi hanya bertih jagung (popcorn) sahaja boleh dibeli dalam masa yang terdekat ini.
Sebuah pengendali pawagam tempatan yang mahukan jenama mereka dirahsiakan berkata, kerja-kerja pembasmian termasuk menggunakan pembersih wap sudah lama disiapkan.
“Sudah lama kami menunggu untuk beroperasi semula dan hari itu adalah esok tetapi kebanyakkan filem terbaru belum sampai ke tangan kami,” katanya.
Sumber itu mengatakan kebanyakkan filem yang mereka dibenarkan untuk tayang sekarang merupakan keluaran negara-negara Asia.
“Buat masa ini kami juga punya filem dari negara barat cuma sudah pernah dilepaskan secara ‘online’ awal tahun ini ekoran pandemik COVID-19 seperti Black Widow lakonan Scarlett Johansson…
“Kami belum sempat menerima cakera keras terbaharu daripada pengedar di Kuala Lumpur,” jelasnya.
Menurutnya, setiap cakera diterima akan ditemani mesej kunci digital yang unik kepada setiap panggung dan harus dikunci masuk sebelum setiap tayangan.
Maklumat termasuk kekerapan filem itu ditayang dan masalah yang dihadapi jika ada boleh dibaca semula oleh pihak pengedar filem yang mendapatkan bekalan mereka dari negara luar.
Syarikat pengendali panggung wayang terbesar di Malaysia, Golden Screen Cinemas (GSC) telah mengumumkan dua cawangan mereka iaitu bertempat di pusat beli belah Suria Sabah dan 1Borneo akan dibuka semula pada 23 September ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata aktiviti panggung wayang ini dibenarkan beroperasi dengan syarat pekerja dan penonton telah lengkap divaksin, dan dengan kapasiti 50 peratus (50%) dewan tayangan pawagam.

“Ini adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan premis-premis seperti ini beroperasi,” katanya dalam sebuah kenyataan malam tadi.