KUALA TERENGGANU – Muktamar Tahunan Ke-67 Parti Islam SeMalaysia (PAS) menunjukkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden parti itu dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden selepas kedua-duanya menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti tersebut bagi sesi 2021-2023.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, seramai EMPAT (4) calon pula akan bersaing untuk mengisi tiga jawatan Naib Presiden.
“Tiga daripada mereka adalah penyandang sebelum ini, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar…
“Seorang calon baharu adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum ini, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
“Calon kelima, iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah, menarik diri daripada bertanding jawatan itu.
“Selain itu, seramai 36 calon akan merebut 18 jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat,” katanya pada sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke-67, di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah Pengarah muktamar kali ini, Dr Alias Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu.
Seterusnya, Takiyuddin memaklumkan, Hussin Ismail dan Kamal Ashaari juga menang tanpa bertanding bagi mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

Dalam pada itu, beliau berkata, muktamar kali ini tidak menjemput rakan parti politik lain sama ada yang ada hubungan dengan PAS atau sebaliknya dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Kita hanya menjemput jemputan tertentu seperti veteran PAS dan orang tertentu, dengan ucapan dasar akan disampaikan Presiden PAS pada majlis perasmian,” katanya lagi
Takiyuddin berkata, seramai 1,546 perwakilan akan mengambil bahagian pada muktamar kali ini, dengan 694 menyertainya di Kuala Terengganu, manakala baki secara hibrid di negeri masing-masing.





