KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menyita sebanyak 5,567 helai pakaian sukan pelbagai jenama terkenal yang disyaki tiruan di daerah Keningau semalam.
Nilai keseluruhan rampasan serbuan yang dijalankan keatas sebuah premis dianggarkan berjumlah RM223,880.
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, operasi berkenaan berdasarkan hasil maklumat daripada syarikat Randall Gateskill Risk Consultancy Sdn Bhd iaitu wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama Adidas, Nike dan Puma yang telah disita di dalam kes ini.
“Seramai sepuluh orang anggota terdiri daripada pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah disertai oleh wakil pemilik cap dagangan barangan berkenaan terlibat di dalam serbuan…
“Pemilik premis perniagaan terbabit adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan kes ini akan disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai barang-barang dengan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah,” katanya.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barangan.
“Kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran,” tambahnya.
Georgie mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.
“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” tegasnya.