PBS Cadang Tubuh Enam Biro Baharu Perkukuh Organisasi dan Gerak Kerja Parti

PBS Cadang Tubuh Enam Biro Baharu Perkukuh Organisasi dan Gerak Kerja Parti

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bercadang menubuhkan enam biro baharu selain Biro Politik bagi memperkukuh struktur organisasi, pembangunan kepimpinan dan gerak kerja parti di semua peringkat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan parti dalam melaksanakan tanggungjawab kepada ahli dan masyarakat, selain mempersiapkan kepimpinan menghadapi cabaran politik semasa.

Enam biro dicadangkan ialah Biro Pembangunan Kepimpinan, Biro Pembangunan Belia dan Beliawanis, Biro Pendidikan dan Latihan Kemahiran, Biro Ekonomi dan Keusahawanan, Biro Disiplin dan Tatatertib serta Biro Kebajikan dan Bencana Alam.

“Setiap biro yang ditubuhkan mesti aktif, mempunyai tugas dan perancangan program yang jelas serta diselaraskan dengan kepimpinan bahagian dan pergerakan parti.

“Kita mahu setiap biro memainkan peranan yang berkesan, bukan sekadar diwujudkan dalam struktur organisasi, tetapi mampu melaksanakan program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada parti, ahli serta rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Upacara Angkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS Sesi 2026–2029 di Dewan Hakka, Likas, pada Selasa.

Joachim berkata, fungsi, skop tugas dan pelantikan pengerusi setiap biro akan diperhalusi bersama Biro Politik bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan keperluan serta hala tuju parti.

Beliau turut menekankan kepentingan Biro Disiplin dan Tatatertib dalam memelihara integriti kepimpinan serta ahli, dengan sebarang isu disiplin perlu ditangani secara adil dan berpandukan peraturan parti tanpa pilih kasih.

Dalam pada itu, Joachim mengingatkan barisan kepimpinan PBS bahawa jawatan parti bukan suatu keistimewaan, sebaliknya amanah yang menuntut pengorbanan masa, tenaga, kewangan dan kepentingan peribadi.

Katanya, kepimpinan Pemuda dan Wanita juga perlu memainkan peranan sebagai pelapis bagi memastikan kesinambungan perjuangan PBS pada masa hadapan.

Menyentuh kedudukan parti dalam landskap politik semasa, beliau menegaskan PBS perlu kekal realistik dan terus memainkan peranan penting sebagai salah sebuah parti pengasas Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, kerjasama erat antara parti komponen GRS penting bagi memperkukuh kestabilan Kerajaan Negeri serta meningkatkan keupayaan Sabah memperjuangkan haknya di peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin PBS supaya lebih aktif memberi penerangan kepada rakyat mengenai perjuangan parti, kedudukannya dalam GRS serta usaha pembangunan Kerajaan Negeri.

Joachim turut menggesa kepimpinan parti mengetepikan perbezaan yang boleh menjejaskan perpaduan dan mengamalkan budaya politik matang berlandaskan prinsip “Walk the Talk”, iaitu memastikan setiap komitmen disusuli tindakan.

“Perjuangan kita bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi membangunkan Sabah dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak, cucu serta generasi akan datang,” katanya.