Pemandu Tersepit Dalam Nahas Dua Kenderaan di Lahad Datu

Pemandu Tersepit Dalam Nahas Dua Kenderaan di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang lelaki cedera selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Dam, berhampiran Lahad Datu Square, malam tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut diterima melalui talian MERS999 pada jam 10.40 malam.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu yang diketuai oleh PBK I Mohamud Punya bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian, terletak kira-kira dua kilometer dari balai, dan tiba lima minit kemudian pada jam 10.45 malam.

Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux Rogue dan Toyota Corolla.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, yang memandu Toyota Corolla, tersepit di tempat duduk hadapan.

“Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas (RTA) untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Sementara itu, pemandu Toyota Hilux Rogue mengalami cedera ringan dan diberikan rawatan awal oleh unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) JBPM di lokasi kejadian,” jelas kenyataan Bomba itu di sini, hari ini.

Operasi dikawal sepenuhnya dan ditamatkan pada jam 11.06 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada risiko bahaya lain di kawasan terbabit.

Turut membantu dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM yang masing-masing menurunkan dua anggota.