Pemandu Lupa Letak Gear ‘P’ Punca SUV Rempuh Pintu Kaca di KKIA

Pemandu Lupa Letak Gear ‘P’ Punca SUV Rempuh Pintu Kaca di KKIA

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas dan merempuh pintu kaca Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira jam 4.55 petang Jumaat berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal meletakkan gear pada kedudukan ‘P’ (park).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan mendapati pemandu wanita berusia 66 tahun itu berhenti di lorong kedua hadapan bangunan KKIA untuk menjemput anaknya sebelum kejadian.

Ketika hendak bertukar pemandu, wanita terbabit dipercayai tidak meletakkan tuil gear pada ‘P’. Kenderaan kemudian bergerak menyebabkan pemandu panik dan secara tidak sengaja menekan pedal minyak,” katanya.

Menurutnya, SUV itu melanggar sebuah kenderaan lain sebelum merempuh pintu kaca di bahagian pelepasan (departure hall) serta melanggar tiang bangunan.

Pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan pada muka akibat terkena serpihan kaca dan telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59] di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.