Tiga Lelaki Ditahan, Enam Motosikal Disyaki Dicuri Dirampas

Tiga Lelaki Ditahan, Enam Motosikal Disyaki Dicuri Dirampas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lelaki dan merampas enam motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes curi motosikal dalam operasi di sekitar Keningau dan Nabawan, Jumaat lalu.

Operasi susulan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama BSJ IPD Keningau hasil risikan susulan laporan kehilangan sebuah motosikal jenis Aveta V13R.

Motosikal berkenaan dilaporkan hilang dari kawasan parkir berhampiran 1Borneo, Kota Kinabalu.

Bertindak atas maklumat diperoleh, polis menahan tiga lelaki berusia antara 21 hingga 30 tahun menerusi beberapa tindakan berasingan.

Dalam operasi sama, polis turut merampas enam motosikal pelbagai jenis dan model yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes curi motosikal yang sedang disiasat.

Hasil soal siasat awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan suspek dalam beberapa kes lain yang dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berdekatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.

Polis menegaskan usaha membanteras jenayah harta benda, khususnya kegiatan curi motosikal, akan terus dipergiat bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat.