Penyusuan Susu Ibu: Wanita Perlu Masa, Ruang dan Sokongan – Julita

Penyusuan Susu Ibu: Wanita Perlu Masa, Ruang dan Sokongan – Julita

0
SHARE

TENOM: Wanita perlu diberikan masa, ruang dan sokongan sewajarnya bagi membolehkan mereka meneruskan penyusuan susu ibu, khususnya ketika berdepan tuntutan pekerjaan dan tanggungjawab keluarga.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, usaha meningkatkan amalan penyusuan susu ibu di negeri ini tidak seharusnya hanya tertumpu kepada galakan, sebaliknya perlu disertai sistem sokongan yang benar-benar membantu wanita meneruskannya.

“Cabaran kita bukan sekadar menggalakkan ibu menyusukan anak, tetapi memastikan setiap ibu, tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal, mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Sabah dan Konvensyen Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI) Negeri Sabah Tahun 2026 di sini, pada Khamis.

Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, walaupun kesedaran mengenai kepentingan penyusuan susu ibu semakin meningkat, masih ramai wanita berdepan cabaran termasuk tuntutan pekerjaan, tanggungjawab keluarga dan kekurangan sokongan.

Menurutnya, penyusuan susu ibu bukan sekadar berkaitan pemakanan, malah memberi permulaan terbaik kepada bayi melalui nutrisi lengkap serta menyokong kesihatan kanak-kanak.

Pada masa sama, amalan itu turut menyumbang kepada pembangunan modal insan, kesejahteraan keluarga dan masa depan Sabah.

“Pembangunan negeri bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal atau ekonomi, tetapi juga melalui kualiti generasi yang kita bentuk sejak hari pertama kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan penyusuan susu ibu memerlukan komitmen bersama daripada keluarga, majikan, komuniti, petugas kesihatan dan kerajaan.

“Pemerkasaan sebenar berlaku apabila wanita diberikan masa, ruang, perlindungan dan sokongan untuk membuat pilihan terbaik demi dirinya dan anaknya,” katanya.

Julita berharap setiap bayi yang dilahirkan di Sabah mempunyai peluang sama untuk mendapat permulaan kehidupan terbaik menerusi sistem sokongan yang kukuh kepada setiap ibu.