Lima Individu Didakwa Berkaitan Dokumen Kerja Baik Pulih Rumah PPRT

Lima Individu Didakwa Berkaitan Dokumen Kerja Baik Pulih Rumah PPRT

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lima individu termasuk empat pemilik syarikat dan seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas beberapa pertuduhan berkaitan dokumen bagi kerja-kerja baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkarnain Rousan Hasbi.

Tertuduh pertama, Ashar Usman, 45, pemilik Asyikin Enterprise, didakwa satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berhubung satu pesanan belian berjumlah RM14,933 pada April 2021.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan disedari memberikan kepada Pengarah GIATMARA Negeri Sabah ketika itu, Saflee Ag Damit, dokumen yang mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih sebuah rumah PPRT yang didakwa tidak mengikut butir-butir pengiraan (BQ) ditetapkan.

Mahkamah membenarkan Ashar diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan. Dia turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mendekati saksi pendakwaan.

Tertuduh kedua, Shariff Wahya, 55, pemilik SW Global dan SW Global Venture, pula didakwa satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan pesanan belian berjumlah RM14,999 berkaitan kerja baik pulih sebuah rumah PPRT yang didakwa tidak mengikut spesifikasi kerja (BQ) ditetapkan.

Shariff dibenarkan jaminan RM10,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin tempatan, selain dikenakan syarat tambahan sama termasuk melapor diri kepada SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mendekati saksi pendakwaan.

Sementara itu, Kenidi Musa, 41, pemilik Nur Enterprise, berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan beberapa invois bagi kerja baik pulih rumah PPRT.

Antara pertuduhan terhadapnya membabitkan invois bernilai antara RM14,996 hingga RM14,998, dengan pendakwaan mendakwa kerja-kerja berkenaan tidak mengikut spesifikasi kerja (BQ) yang ditetapkan.

Mahkamah membenarkan Kenidi diikat jamin RM15,000 dengan deposit RM5,000 dan dua penjamin tempatan serta mengenakan syarat tambahan sama.

Seorang lagi pemilik syarikat, Mohd Nur Musa, 42, daripada Alyanazmi Enterprise, berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Antara pertuduhan itu mendakwa dokumen pesanan belian berkaitan kerja baik pulih PPRT mengandungi pernyataan palsu, termasuk satu kerja bernilai RM15,000 yang didakwa tidak dilaksanakan. Pertuduhan lain membabitkan kerja tertentu yang didakwa tidak dilaksanakan mengikut BQ ditetapkan.

Mohd Nur dibenarkan jaminan RM15,000 dengan deposit RM5,000 dan seorang penjamin tempatan, selain perlu melapor diri kepada SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mendekati saksi pendakwaan.

Tertuduh kelima, Aidah Mustapha, 54, seorang pembantu tadbir di Jabatan Pertanian Negeri Sabah, pula berdepan pertuduhan berkaitan invois kerja baik pulih PPRT serta penggunaan dokumen yang didakwa palsu.

Berdasarkan laporan pertuduhan, antara pertuduhan terhadapnya membabitkan empat invois CD Family Enterprise bernilai antara RM14,996.50 hingga RM15,000, yang didakwa mengandungi pernyataan palsu mengenai kerja baik pulih rumah PPRT yang tidak mengikut spesifikasi kerja ditetapkan.

Dia turut didakwa menggunakan beberapa dokumen sebagai tulen yang mempunyai sebab untuk dipercayai palsu bagi tujuan mendapatkan bayaran kerja PPRT, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Mahkamah membenarkan Aidah diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 dan dua penjamin tempatan. Dia turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mendekati saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober 2026 untuk pengurusan kes kesemua tertuduh.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, laporan itu menyatakan hukuman boleh membawa penjara tidak melebihi 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan pula boleh dihukum di bawah Seksyen 465 dengan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.