KUALA LUMPUR – Peniaga bazar Ramadan di Kuala Lumpur dan Putrajaya membazirkan 47,610 kilogram (kg) makanan sehari iaitu jumlah yang boleh memberi makan kepada 39,675 orang.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib berkata kajiannya mendapati secara purata 52,900kg sampah sarap dihasilkan setiap hari daripada 5,694 lot perniagaan di kedua-dua Wilayah Persekutuan.
Kira-kira 90 peratus daripada sisa tersebut adalah makanan. Ummi berkata 81 peratus peniaga berkata mereka mengitar semula baki makanan mereka.
Bagaimanapun, tiada bukti untuk menyokong dakwaan itu. Katanya, hanya 16 peratus daripada peniaga mendakwa mereka mampu menjual semua makanan mereka.
“Kira-kira 74 peratus daripada mereka berkata mereka telah membuang kurang daripada 1kg makanan, dan lapan peratus lagi telah membuang lebih daripada 1kg makanan.
“Itu agak tinggi, bukan? Kami mahu ia menjadi sifar sisa makanan tetapi itu mustahil,” katanya memetik laporan New Straits Times.
Beliau mengaitkan pembaziran makanan itu berpunca daripada penyediaan makanan yang tidak dirancang oleh peniaga.
“Sekiranya perniagaan lambat pada hari bekerja, sebagai contoh, mereka boleh mengurangkan jumlah makanan yang mereka jual,” katanya.
Beliau berkata peniaga yang menjual makanan siap bungkus juga menyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan kerana ia memaksa pelanggan membeli lebih daripada apa yang mereka perlukan.
“Anda tidak boleh beli dua kuih, kena beli lima. Nak cuba dua jenis kuih, tapi tak boleh, dan kalau beli dua, tak boleh habiskan.
“Saya meminta penjual menjual separuh daripada bahagian itu kepada saya, tetapi mereka tidak membenarkan saya berbuat demikian… itu adalah sikap buruk untuk mengaut keuntungan hanya untuk menghabiskan apa sahaja yang dijual.
“Untuk mengurangkan pembaziran, orang ramai juga harus merancang pembelian mereka di bazar selain membawa bekas sendiri,” katanya.