
SANDAKAN, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan mencatat sebanyak 37 kes tangkapan sepanjang tahun 2024 bermula Januari hingga Jun lalu dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM1.2 juta.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, jumlah kes tangkapan itu hampir menyamai jumlah kes tangkapan pada tahun 2022, iaitu sebanyak 47 kes dengan nilai rampasan lebih RM86,000 serta 42 kes pada tahun 2023 dengan nilai rampasan melebihi RM270,000.
Menurutnya, kes tangkapan yang berjaya dilakukan membuktikan bahawa Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Sandakan, serius dalam membanteras aktiviti jenayah dan salah laku di laut terutamanya di perairan Sandakan.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kembara Sahabat Maritim 2024 di Sekolah Kebangsaan Terusan Baru, Pulau Timbang Sandakan, semalam.
“Kejayaan kes tangkapan ini turut dibantu oleh maklumat yang disalurkan oleh orang ramai, khususnya komuniti maritim seperti nelayan yang mengetahui setiap gerak geri serta aktiviti yang berlaku di perairan negara.
“Saya berharap komuniti maritim terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Maritim Malaysia, agar aktiviti salah laku dan jenayah di laut dapat dibendung, seterusnya memastikan perairan negara selamat dan sejahtera,” katanya.
Beliau juga berharap program bersama komuniti seperti Sahabat Maritim dapat dilaksanakan secara berkala agar kerjasama dan persefahaman antara Maritim Malaysia dan komuniti maritim dapat diperkukuhkan lagi.
“Program Kembara Sahabat Maritim 2024 ini adalah langkah proaktif Maritim Malaysia dalam mempererat hubungan dengan komuniti maritim, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan maritim, serta memastikan perairan negara terus selamat daripada ancaman bahaya.
“Melalui pelbagai aktiviti dan program yang dirancang, Maritim Malaysia yakin dan percaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara akan terus terpelihara,” tambahnya.
Terdahulu, Program Kembara Sahabat Maritim ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 12 hingga 14 Julai.





