Cubaan 14 Orang PATI Masuk Perairan Tawau Digagalkan ATB 2

Cubaan 14 Orang PATI Masuk Perairan Tawau Digagalkan ATB 2

0
SHARE
Kesemua PATI dalam tahanan ATB 2...(Sumber Foto: Ihsan ATB 2)

TAWAU, SABAH – Cubaan 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia yang menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau dipatahkan Tim Quick Reaction Force (QRF) di bawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Kejadian jam 3.40 petang semalam berlaku di perairan Jeti Pemunggahan Balak, Kampung Hidayat di sini.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata Tim QRF yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA menggunakan sebuah pacuan empat roda telah melihat sebuah bot laju yang mencurigakan telah merapat ke kawasan tersebut.

“Bot yang membawa PATI kemudiannya beredar secara tergesa-gesa dari kawasan tersebut selepas menurunkan kesemua PATI ke darat…

“Tim QRF telah bertindak mengepung dan menahan kesemua PATI tersebut.

“Tiga (3) PATI lelaki dewasa yang terkejut dengan kehadiran Tim QRF cuba melarikan diri dari ditahan namun tindakan mereka sia-sia kerana berjaya dipatahkan,” katanya.

Lokasi kejadian di Jeti Kampung Hidayat…(Sumber Foto: Ihsan ATB 2)

Namun begitu seorang lelaki yang bertindak sebagai tekong bot berkenana berjaya melarikan diri.

Hasil pemeriksaan awal terhadap 14 PATI mendapati mereka merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.

“Mereka terdiri daripada empat (4) lelaki dewasa berusia 20 hingga 53 tahun, enam (6) wanita dewasa berusia 17 hingga 69 tahun serta tiga (3) kanak-kanak lelaki berusia 3 hingga 9 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun ditemui bersama barang persendirian…

“Mereka dimaklumkan telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan,” kata Abdul Karim.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Kesemua PATI diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bagi tujuan soal siasat serta proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya.