KOTA KINABALU: Lebih 100 pelajar cemerlang Sabah menerima tajaan pendidikan PETRONAS untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia, United Kingdom (UK) dan Kanada.
Tajaan menerusi program Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026 itu diberikan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang dipilih melalui proses penilaian ketat dan kompetitif berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam kokurikulum.
Naib Presiden Kanan PETRONAS, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir Bacho Pilong berkata, pihaknya berbangga melihat semakin ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam usaha membina masa depan yang lebih cerah.
“Setiap pelajar yang diraikan hari ini membawa harapan dan aspirasi keluarga, komuniti serta negeri ini.
“Di PETRONAS, kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan dapat membuka peluang kepada individu, di samping menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026 yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, di sini, hari ini.
Bacho turut berharap penerima tajaan memanfaatkan peluang diberikan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Kami berharap anda semua akan memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya, mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan masing-masing dan pada suatu hari nanti memberikan sumbangan bermakna kepada Sabah serta Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Penerima tajaan berkenaan akan melanjutkan pengajian antaranya dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, sains data dan psikologi di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta institusi pengajian tinggi terkemuka di dalam dan luar negara.
Pada majlis sama, seramai 22 pelatih baharu turut diraikan selepas menerima tajaan mengikuti program Diploma Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC), selaras usaha PETRONAS memperkukuh laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berorientasikan keperluan industri.
PETRONAS turut menyampaikan Biasiswa Kecil PETRONAS kepada 25 pelajar sekolah menengah di Sabah bagi sesi 2026/2027.
Program biasiswa kecil yang diperkenalkan pada 2023 menerusi kerjasama PETRONAS Floating LNG, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah itu setakat ini memberi manfaat kepada kira-kira 140 pelajar di seluruh negeri.
Menariknya, sembilan penerima Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026 kali ini adalah bekas penerima Biasiswa Kecil PETRONAS ketika di peringkat sekolah menengah.
Sementara itu, James merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan memperluas akses pendidikan berkualiti kepada generasi muda Sabah.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS telah membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda Sabah untuk merealisasikan potensi mereka serta menyumbang kepada pembangunan masa depan negeri ini,” katanya.
Sejak 1975, lebih 40,000 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program tajaan pendidikan PETRONAS.






