KOTA KINABALU: Parti Warisan menafikan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mendakwa kononnya UMNO terbuka untuk bekerjasama dengan Warisan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr, menegaskan parti itu tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan rahsia sebagaimana digembar-gemburkan.
Katanya, Majlis Tertinggi Warisan sebelum ini sudah membuat ketetapan jelas iaitu Warisan akan terus bersama rakyat Sabah, bukan berunding di belakang tabir dengan parti luar.
“Cita-cita rakyat Sabah sudah lama jelas, iaitu sudah tiba masanya mereka bersatu di bawah satu parti tempatan.
“Majlis Tertinggi membuat keputusan selepas mengambil kira suara di lapangan daripada program turun padang parti,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau menambah, Warisan percaya lebih penting untuk memahami aspirasi dan harapan rakyat Sabah, serta bersatu dengan mereka, berbanding menjalin kerjasama politik semata-mata demi kuasa.
“Fokus utama Warisan untuk PRN Sabah akan datang adalah kebajikan serta masa depan rakyat negeri ini, bukan masa depan mana-mana parti atau gabungan,” katanya.
Krisis Langkah Kinabalu 2023 tercetus bila BN tarik sokongan daripada GRS, cuba alih sokongan ke Warisan Plus, namun akhirnya GRS kekal berkuasa selepas lahirnya Akta Anti-Lompat Parti.






