Pemergian Abdul Mijul Tidak Gugat Gagasan Rakyat Banggi – Mohammad

Pemergian Abdul Mijul Tidak Gugat Gagasan Rakyat Banggi – Mohammad

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin menegaskan tindakan Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Mijul Unaini meninggalkan parti untuk menyertai Warisan berlandaskan cita-cita peribadi, bukannya perjuangan rakyat.

Menurutnya, langkah Abdul Mijul dipercayai kerana dijanjikan peluang menjadi calon Warisan di kerusi DUN Banggi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) atau demi membuka laluan sendiri sebagai calon.

Katanya, jika benar perjuangannya untuk rakyat, beliau tidak akan beralih arah hanya kerana mengintai jawatan.

Mohammad yang juga ADUN Banggi berkata, pemergian itu tidak menjejaskan Gagasan Rakyat kerana parti tidak bergantung pada seorang individu. Sebaliknya, jentera di Banggi kini lebih mantap dan bersedia menghadapi PRN17.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat telah menolak kepimpinan Abdul Mijul pada pilihan raya lalu, membuktikan pengaruh politiknya semakin merosot.

“Kalau beliau masih diyakini, tentu rakyat tidak akan menolak pada pilihan raya lalu,” katanya.

Mohammad menegaskan ahli serta penyokong kini lebih bersemangat memastikan kerusi Banggi kekal bersama Gagasan Rakyat, kerana rakyat mahukan kesinambungan pembangunan dan kerajaan yang konsisten membela mereka.

Katanya lagi, Gagasan Rakyat akan terus memperjuangkan keperluan asas rakyat Banggi termasuk infrastruktur, peluang ekonomi dan kebajikan, berbeza dengan mereka yang hanya mengejar jawatan demi kepentingan politik peribadi.