KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyatakan sokongan terhadap kenyataan tegas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengenai pencerobohan kuasa Persekutuan ke atas bidang kuasa negeri.
Menurutnya, pendirian Sarawak berhubung Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 amat bertepatan dengan keresahan yang telah lama disuarakan di Sabah dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Namun, Dr Jeffrey menegaskan bahawa bagi Sabah, isu itu tidak hanya terbatas kepada soal minyak dan alam sekitar semata-mata.
“Terdapat beberapa undang-undang Persekutuan lain yang turut menjejaskan kedaulatan dan hasil negeri, antaranya Akta Laut Wilayah 2012 yang telah mengehadkan sempadan maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika sehingga merugikan kawalan terhadap sumber laut.
“Seterusnya Akta Perikanan 1985 yang memusatkan kuasa perlesenan di Putrajaya dan Akta Bekalan Elektrik 1990 yang merampas hak Sabah untuk menentukan arah bekalan tenaga sendiri,” katanya.
Katanya lagi, meskipun ada usaha devolusi kuasa dilakukan dalam beberapa aspek, ia sekadar langkah kosmetik kerana Sabah tetap terikat di bawah kerangka undang-undang Persekutuan dan bergantung kepada budi bicara Kerajaan Pusat.
Beliau menegaskan bahawa apa yang diperlukan Sabah bukanlah devolusi bersifat separuh jalan, sebaliknya pemulihan penuh kuasa untuk menggubal undang-undang, mengawal selia serta memungut hasil daripada sumber negeri sendiri.
“Siri pencerobohan undang-undang itu telah menyebabkan Sabah semakin miskin, lemah dan bergantung kepada Kerajaan Persekutuan, sesuatu yang jelas bertentangan dengan semangat dan janji dalam MA63.
“Justeru, satu kajian undang-undang dan perlembagaan secara menyeluruh harus segera dilaksanakan bagi mengenal pasti serta mencabar semua peruntukan Persekutuan yang telah menjejaskan hak Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan itu bukan sekadar untuk mendapatkan layanan baik daripada Putrajaya, tetapi bagi menuntut hak yang sudah termeterai, dijanjikan, dan terlalu lama tertangguh.
“Hak kita bukan satu ihsan. Ia adalah kewajipan yang telah dijanjikan kepada rakyat Sabah sejak penubuhan Malaysia, dan sudah tiba masanya ia dikembalikan,” tegasnya.






