YANGON, MYANMAR – Sejak berlaku satu rampasan kuasa di negara ini, Tentera Myanmar telah menghalang akses kepada aplikasi media sosial Twitter di Myanmar, malam tadi sebagai langkah terbaru mereka memperluaskan sekatan Internet bagi mengekang penentangan susulan rampasan kuasa pada Isnin lalu.
Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, ditahan dan digulingkan dalam insiden itu, sekali gus menyaksikan negara ini kembali berada bawah pemerintahan tentera selepas 10 tahun mengecapi demokrasi.

Memetik laporan AFP, lama media sosial Facebook menjadi platform pertama berdepan isu di Myanmar pada Rabu lalu dan menjelang keesokannya, pengguna media sosial di Myanmar ‘membanjiri’ Twitter untuk menyebarkan kempen tanda pagar menentang pemberontakan tentera.
Namun kira-kira jam 10 malam tadi (waktu tempatan), akses kepada Twitter turut disekat, walaupun sebilangan daripada mereka berusaha dengan menggunakan khidmat rangkaian persendirian maya (VPN).
“Twitter kini disekat di #Myanmar dalam pelbagai penyedia rangkaian,” kata NetBlocks yang memantau gangguan Internet di seluruh dunia.
Malah, ia mengesahkan produk Facebook yang lain, iaitu Whatsapp dan Instagram, turut mengalami gangguan di Myanmar.
Menurut satu dokumen Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi yang dilihat AFP tetapi tidak disahkan, Twitter serta Instagram didakwa digunakan ‘untuk menyebarkan hasutan dan berita palsu… menimbulkan salah faham dalam masyarakat.’
“Demi orang ramai dan kestabilan negara, Instagram dan Twitter akan disekat sementara hingga makluman lanjut, bermula 5 Februari,” katanya.
Semalam, kira-kira 200 tenaga pengajar dan pelajar mengadakan bantahan di sebuah universiti negara ini – tunjuk perasaan terbesar oleh orang awam di Myanmar, setakat ini.

Sambil menunjukkan simbol tiga jari seperti digunakan gerakan demokrasi di Thailand, mereka turut menyanyi lagu revolusi popular.
“Kita harus menolak pemerintahan diktator ini,” kata pensyarah, Win Win Maw, kepada AFP